TEKNIK PEMBAJAAN TANAMAN

Pembajaan tanaman merupakan amalan yang perlu dilakukan dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil di samping pergantungan kepada baja secara semulajadi dari tanah.

Membaja bukan sekadar menabur disekeliling pokok tanaman sahaja tanpa mengikut teknik-teknik yang betul tetapi keadaan pokok tanaman dan sukatan keperluan pokok mesti difahami bagi mengelakkan pembaziran kos dan masa. Pembaziran berlaku disebabkan kurang kefahaman terhadap teknik-teknik pembajaan yang betul kerana kemungkinan baja yang ditabur akan terlupus keudara atau terhakis dibawa air hujan.
Teknik pembajaan yang tidak betul akan mengakibatkan baja tidak dapat diserap oleh pokok secara maksimun mungkin disebabkan akar pokok jauh dari taburan baja. Taburan baja yang berlebihan daripada keperluan pokok juga menyebabkan pembaziran kerana lebihan baja hanya akan terlupus keudara atau terhakis oleh air hujan.
Terdapat teknik-teknik pembajaan yang didapati berkesan untuk tumbesaran pokok dan mudah dipratikkan oleh pengusaha projek pertanian. Teknik-teknik yang dinyatakan ini amat bersesuaian dipraktikkan kepada pokok tanaman yang lebih kepada sifat tanaman kekal seperti tanaman buah-buahan. Di bawah ini ditunjukkan teknik-teknik pembajaan yang betul sebagai panduan kepada petani-petani dalam mengusahakan projek pertanian.

Lurah Keliling
Berpandukan kepada teknik ini, lurah perlu digali sedalam 10-15 sm dengan lebar 20 sm di sekeliling pokok pada jarak hujung dahan (jurai daun) pokok tanaman. Baja dimasukkan kedalam lurah yang digali mengikut kadar yang disyorkan bergantung kepada umur pokok dan ditimbus supaya tidak dapat dibawa oleh air hujan. Baja akan dapat diserap oleh akar-akar pokok yang aktif pada jarak tersebut.


Lurah Jejari
Teknik pembajaan lurah jejari boleh diamalkan pada pokok-pokok tanaman yang sensitif seperti pokok durian. Cara ini tidak merosakkan akar-akar pokok yang aktif dan jika berlaku kerosakkan pun hanya ditahap paling minimun tanpa menjejaskan tumbesaran dengan mengali lurah sedalam 10-15 sm dengan lebar 20 sm memanjang dari pangkal pokok hingga ke hujung kanopi pokok.
Lurah yang digali ini jika dilihat daripada atas akan kelihatan seperti huruf "t". Jumlah lurah yang digali bergantung kepada saiz kanopi pokok iaitu antara 406 lurah. Baja dimasukkan dalam lurah tersebut dan ditimbus bagi mengelakkan hakisan oleh air hujan.

Poket atau Saku
Teknik ini berbeza sedikit dengan cara lurah keliling kerana lubang yang digali kelihatan putus-putus. Lubang dibuat de sekeliling pokok mengikut garisan kanopi sama seperti lurah keliling. Kedalaman lubang antara 10-15 sm dengan lebar 20 sm dan panjang 20-30 sm.

Jumlah lubang pula bergantung kepada saiz pokok, semakin besar pokok, lubang yang diperlukan semakin banyak untuk diselaraskan dengan kuantiti baja. Baja dimasukkan ke dalam lubang dan ditimbus semula juga bagi mengelakkan hakisan oleh air hujan.

Kesimpulan
Teknik-teknik pembajaan yang tersebut di atas merupakan amalan yang digunapakai oleh kebanyakan petani. Pembajaan jika dilakukan mengikut teknik-teknik yang betul akan dapat menggalakkan tumbesaran pokok dan pengeluaran hasil yang tinggi kerana baja yang ditabur dapat diserap sepenuhnya oleh pokok selain menjimatkan kos serta mengelakkan pembaziran.

LAWATAN BELAJAR KE MARDI

Lawatan belajar telah diadakan pada 24hb.Feb 2009 ke Bahagian Teknologi Makanan, MARDI, Serdang yang diketuai oleh Pegawai Pertanian Daerah Sepang ( En. Tajuddin Ahmad). Tujuan lawatan adalah untuk memberi gambaran dan menunjukkan kepada pengusaha IAT akan peranan pihak MARDI dalam R & D membantu pengusaha IAT menghasilkan mesin/peralatan untuk membuat produk IAT.



AGRISGEO PORTAL

Pada 5-6hb.Feb 2009 adalah giliran Daerah Sepang menghantar para pegawainya untuk mencuba dan mengemaskini maklumat SPBP didalam AgrisGeo Portal. Sebelum ini Daerah Kuala Langat 3-4hb.Feb 2009.

Didapati sistem ini ada kebaikan dan kelemahannya. Kelemahan yang kita dapati didalam sistem ini, sama-samalah kita memberi komen untuk dibaiki dari masa kesemasa. Walau apa pun sistem yang akan dilaksanakan kita harap ia dapat menambah baik lagi sistem pengumpulan maklumat dari peringkat akar umbi, khususnya kawasan khidmat. Apa yang diharapkan percubaan ini bukan sahaja tertumpu kepada Daerah Sepang dan Kuala Langat. Sebaliknya juga perhatian harus di berikan kepada Daerah atau Negeri yang bermasalah. Anda sekalian boleh masuk ke website AgrisGoe Portal.

BLOG, BLOGGER, BLOGGING dan ...........

Terima kasih kerana sudi meneruskan pembacaan anda. Dibawah ini penulis menerangkan serba ringkas tajuk-tajuk berkenaan seperti yang telah di janjikan untuk pengetahuan umum para pembaca. Selamat membaca.

BLOG
Apakah itu blog?
Blog ialah sebutan ringkas bagi Weblog. Blog ialah sebuah web, tetapi dibina menggunakan perisian yang telah diformat bagi membolehkan sesiapa sahaja membinanya walaupun tidak memililki pengetahuan teknikal yang mendalam.
Blog mengandungi maklumat yang menggambarkan minat, pemikiran atau pendapat seseorang yang menerbitkan blog itu. Dengan ciri ini, blog sesuai menjadi diari atau jurnal online yang menyiarkan pendapat atau pandangan tidak rasmi pengendali blog itu.

Blog juga mengandungi banyak pautan kepada sumber-sumber maklumat. Kandungan blog ditulis dan dihantar secara berkala dan disusun mengikut kronologi iaitu maklumat yang terbaru diletakkan dibahagian atas.

Di internet, blog dilihat hampir menyerupai laman web. Ia lebih mudah dikemaskini tanpa memerlukan kemahiran teknik pengaturcaraan. Blog juga lebih interaktif di mana pengendali blog yang dikenali sebagai blogger boleh berkomunikasi secara interaktif dengan pembaca blog. Pembaca boleh memberi komentar terhadap kandungan blog yang dibacanya.

Berikut adalah ciri-ciri utama sebuah blog:

  1. Kandungan utama (Main content)
  2. Pautan ke RSS feed
  3. Tarikh dan masa
  4. PermaLink
  5. Komentar (Comments)
  6. Tracback
  7. Blogroll
  8. Arkib (Archives)
BLOGGER
  • Pengendali blog dikenali sebagai blogger
  • Blogger bebas menulis apa sahaja di dalam blog
  • Blogger juga perlu mengurus blog mereka
  • Blogger perlu mempunyai fokus topik yang menarik dan menyeronokkan

Secara umum tugas blogger ialah mengendalikan blog dengan menghantar maklumat, berita dan sebagainya ke dalam blog mereka. Blogger juga bertanggungjawab membalas komentar yang dihantar pembaca. Kebanyakan pembaca blog inginkan reaksi yang memuaskan hati mereka dan pada masa yang sama blogger pula perlu meneliti dan menapis komentar spam.


BLOGGING
Istilah blogging bermaksud apa sahaja aktiviti yang dilakukan oleh pengendali blog atau blogger ke atas blog di dalam alam blog atau sfera blog (blogosphere). Aktiviti yang dimaksudkan termasuklah mambina, manulis, membuat pautan dan mempromosikan blog.

Panduan Penting :

  • Blogging ialah aktiviti yang dilakukan berkaitan dengan blog
  • Blogger perlu menentukan niche yang sesuai dengan dirinya sebelum membina dan mengendalikan blog
  • Promosi blog dan bekerjasama dengan blogger lain untuk menyediakan pautan di dalam blog adalah tugas blogger yang penting

Apakah 'niche' anda?

Apabila seseorang mahu memulakan blogging, biasanya mereka sudah mempunyai idea yang ingin dikongsi bersama di alam siber. Namun jika anda ingin serius dalam blogging, anda harus mencari satu tunpuan dan bidang khusus yang anda gemari dan ada kelebihan berbanding dengan orang lain.

Inilah yang dimaksudkan dengan niche iaitu tumpuan dan bidang khusus yang anda memang ada kepakaran mengenainya.

Setakat ini sahaja yang dapat diterangkan. Penulis akan menyambung kembalikan cerita mengenai blog, blogger dan blogging sekiranya penulis mendapat maklumat terkini.

SAYEMBARA WEB BLOG

Ha....ha....ha...... Nampaknya tahun ini semua Pejabat Pertanian Daerah atau individu dalam Jabatan Pertanian akan berlumba-lumba membuat web blog. Tentu para pembaca blog ini sudah dapat meneka jawapannya. Mungkin ramai yang tak tau. Takpalah penulis bagi tau. Sebenarnya ini berikutan pengumuman pertandingan membuat atau mencipta laman web blog oleh Pengarah Pertanian baru-baru ini. "Apa pendapat tuan-puan sekalian"? Pada pendapat saya, pertandingan ini amat baik kerana ia bertujuan untuk mencukil bakat yang kreatif dikalangan kakitangan untuk berinovasi dan berikteraksi. Nampaknya pertandingan ini satu ransangan kepada kakitangan untuk menjadikan blog sebagai wadah menyampaikan teknologi pertanian atau berita kepada pelanggannya dan warga jabatan pertanian semua. Cuma di sini kita akan berfikir adakah apa yang kita lakukan ini berbaloi? adakah matlamat akan tercapai?
Untuk memeriahkan penciptaan blog adalah dicadangkan pihak penganjur membuat garis panduan. Garis panduan ini perlu, agar isi kandungan tidak lari dari matlamat web blog yang dikehendaki oleh pihak penganjur. Selain dari itu ia sesuai dan berguna untuk dijadi rujukan atau sebaran berita. Bila sebut hal berkaitan pertandingan perkara pokok yang bermain dalam kotak fikiran kita ialah hadiah. Semua orang akan bertanya apa hadiahnya? Termasuk diri penulis sendiri. Untuk menarik minat dan memeriahkan majlis, hadiahnya kenalah lumayan. Dicadangkan hadiah yang ditawarkan mestilah memberi impak. Contohnya laptop, melancong atau peralatan ICT yang bermanafaat untuk kepentingan bersama di Daerah tersebut sama ada untuk kakitangan atau pelanggan kelak.
Penulis juga terasa kehangatan pertandingan membuat blog ini. Tapi bagi daerah penulis tak lah sibuk sangat untuk membuatnya, kerana dah ada. Cuma perlu di tambah nilai (touch up) sahaja. Bagi yang belum ada tentunya sibuk bertanya sana sini bagaimana nak membuatnya, dan mungkin ada yang sibuk mencari tenaga pengajar untuk mengajar cara-cara membuat web blog walaupun kursus membuat web blog telah dilaksanakan tahun lepas.
Jangan risau, diruangan ini penulis akan membincangkan dengan para pembaca sekalian berkenaan tajuk blogger, blog dan blogging berdasarkan pengetahuan penulis yang cetek ini. Jangan lupa melihat tajuk seterusnya.
" Pesanan dari penulis sambil melawati blog daerah penulis ini jangan lupa pasang speaker komputer tu ", sebab ada halwa untuk telinga.

DALAM KENANGAN

Di ucapkan selamat bersara kepada En. Sairi Damsor yang bermula pada 03/12/2008. Di doakan semoga Allah menganugerahkan kesihatan dan kebahagian selepas bersara dari jawatan Pembantu Tadbir di Pejabat Pertanian Daerah Sepang. Beliau telah memulakan kerja pada tahun 1972 semasa berusia 19 tahun. Tempat pertama beliau bertugas di Pejabat Daerah Sabak Bernam selama 6 tahun. Selepas itu beliau bertugas di Pejabat Daerah Sepang selama 19 thn. Kemudian beliau ditukarkan ke Pejabat Kebajikan Masyarakat dan bertugas disana selama 6 tahun. Kini beliau telah menamatkan perkhidmatannya di Pejabat ini pada usia 55 tahun yang bermula dari tahun 2002.
video